Kenapa anda perlu declare cukai pendapatan? Haa.. Bila dah nak masuk musim cukai dan sebagainya, pasti ramai yang mula mencari informasi di Google. Namun, tak banyak yang memberikan informasi yang anda perlukan.

Kami di Angelus Consultancy pun tak putus-putus menerima pertanyaan berkenaan declare cukai pendapatan ini. Ada yang call, WhatsApp, email dan terus datang ke pejabat urusan kami.

Jadi, kami berasa terpanggil untuk berkongsi secara terperinci dalam perkongsian kali ini berkenaan cukai pendapatan. Jom baca.

Apa Itu Cukai Pendapatan?

Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan pada setiap tahun terhadap seseorang yang menerima pendapatan bersifat hasil seperti:

a) Laba / keuntungan daripada sesuatu perniagaan;

b) Laba / keuntungan daripada penggajian;

c) Dividen, faedah atau diskaun;

d) Sewa, royalti atau premium;

e) Pencen, anuiti atau bayaran berkala lain; dan

f) Laba / keuntungan yang tidak termasuk dalam mana-mana butiran di atas.

Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) menguatkuasakan hal-ehwal pentadbiran dan kutipan cukai pendapatan ke atas orang dan pendapatan yang layak dikenakan cukai.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) pula merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab memungut dan mentadbir cukai langsung negara.

Siapa Kena Declare Cukai Pendapatan?

Cukai pendapatan dikenakan terhadap setiap individu bagi pendapatan diterima di Malaysia dari Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia bagi setiap tahun taksiran.

Seseorang individu yang mempunyai jumlah pendapatan yang melebihi nilai yang dikenali sebagai nilai ambang seperti yang ditetapkan, yang boleh dikenakan cukai perlu mendaftar fail cukai pendapatan bagi tujuan declare cukai pendapatan.

Skop jumlah cukai yang dikenakan pada setiap individu pula adalah bergantung kepada taraf mastautin individu tersebut. 

Bagi individu yang bermastautin akan dikenakan cukai mengikut kadar cukai berskala serta layak untuk menuntut beberapa jenis potongan.

Potongan yang dimaksudkan adalah menurut seksyen 45A Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga seksyen 49 Akta Cukai Pendapatan 1967. 

Manakala bagi individu yang bukan pemastautin pula akan dikenakan kadar cukai tetap sebanyak 30% dan individu ini tidak layak untuk menikmati sebarang potongan. Bagi mereka juga, sebarang punca pendapatan daripada luar Malaysia yang dibawa masuk ke Malaysia adalah dikecualikan cukai.

Bila Anda Akan Dikenakan Cukai?

Cukai pendapatan bagi individu terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Individu dengan pendapatan penggajian
  • Individu dengan pendapatan perniagaan

a. Individu Dengan Pendapatan Penggajian

Individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 34,000 dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan layak dikenakan cukai.

Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang tidak dikenakan cukai adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak. 

Pelepasan asas yang diambil kira adalah pelepasan individu dan saudara tanggungan serta pelepasan suami / isteri dan anak (di bawah umur 18 tahun) bagi individu yang telah berkahwin. Manakala tolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan sekiranya pendapatan bercukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.

b. Individu Dengan Pendapatan Perniagaan

Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (Ekonomi Bayangan).

Perniagaan terdiri daripada:

  • Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri
    • Individu yang menjalankan perniagaan secara perseorangan
  • Perkongsian
    • Meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua atau lebih pihak bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan dan mewujudkan perkongsian keuntungan. Perkongsian mungkin wujud di antara :
      • Individu-individu
      • Dua syarikat
      • Individu dan syarikat
      • Individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian

Contoh Perniagaan :

  • Perniagaan Runcit
  • Perniagaan Pasar Malam / Gerai
  • Perniagaan Melalui Internet (Ekonomi Digital)
  • Bidang Lakonan / Nyanyian / Duta Produk / Ulasan Produk
  • Komisen / Kelas Tuisyen / Penceramah
  • Perniagaan Jualan Langsung / Stokis
  • Bidang Penulisan / Youtuber / Blogger
  • Pertanian dan Penternakan
  • Klinik, Firma Guaman atau Lain-Lain Pengamal Profesional
  • Pemandu Teksi / e-hailing

Macam Mana Nak Declare Cukai Pendapatan?

Untuk proses ini, ada dua cara yang anda boleh lakukan iaitu menerusi Sistem Taksir Sendiri atau menerusi Cukai Muktamad. Anda boleh fahamkan lebih lanjut menerusi di bawah:

“Macam banyak je nak kena tahu berkenaan cukai dan audit ni?”

Jangan risau. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.