“Kos dan perbelanjaan bukan benda sama ke?”

Bagi kebanyakan pemilik bisnes, masih banyak lagi istilah perniagaan yang masih asing bagi mereka. Mungkin juga mereka merasakan mereka faham istilah yang disebutkan. Namun, saat ditanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah tersebut, mereka terdiam.

Salah satunya adalah kos dan perbelanjaan. Belum lagi ditanya apa perbezaan kos dengan perbelanjaan. Jangan risau. Dalam perkongsian kali ini kami ingin kongsikan dengan anda mengenai kos dan perbelanjaan serta perbezaannya.

Apa itu kos?

Kos merupakan amaun yang perlu dibayar untuk memperoleh sesuatu. Di dalam istilah perakaunan pula, kos boleh dibahagikan, dikelaskan atau dikategorikan kepada beberapa jenis.

1. Kos aset

Bagi akauntan, mereka akan menggunakan kos jangka untuk merujuk kepada aset perniagaan secara khusus dan lebih khusus pula kepada aset-aset yang mampu untuk susut nilainya.

Kos aset termasuk setiap kos yang terlibat untuk:

  • Membeli
  • Memperoleh
  • Menubuhkan
  • Melatih pekerja dalam penggunaannya

Sebagai contoh, jika sebuah perniagaan jenis perkilangan membeli mesin, kos yang dikira adalah:

  • Penghantaran
  • Penyediaan
  • Latihan

2. Kos barang dijual

Kos barangan dijual pula merujuk kepada pengiraan yang dilakukan pada akhir tahun perakaunan bagi perniagaan yang menjual produk.  Ia melibatkan penambahan semua kos yang terlibat seperti kos bahan, upah dan overhead.

Contoh, syarikat anda menghasilkan 10,000 produk dan kos yang terlibat adalah RM250,000 maka kos setiap satu produk anda adalah RM25.

Apa itu perbelanjaan?

Perbelanjaan jika diikutkan maksud sebenarnya adalah pengurangan manfaat ekonomi atau potensi perkhidmatan semasa tempoh pelaporan dalam bentuk aliran keluar atau penggunaan aset atau penglibatan liabiliti yang mengakibatkan pengurangan dalam aset bersih/ekuiti.

Untuk memudahkan anda faham, perbelanjaan adalah:

  • Kos perkhidmatan atau barang yang digunakan dalam proses menjanakan hasil.
  • Sebahagian daripada kos aset yang perlu dihapus kira. Sebagai contoh, susut nilai dan hutang lapuk.

Ia juga boleh ditakrifkan sebagai kos-kos yang terlibat di dalam penggunaan sesuatu bekalan, kerja atau perkhidmatan. Perbelanjaan hanya diiktiraf dalam sesuatu tempoh perakaunan apabila urusniaga perbelanjaan berlaku tanpa mengira samada perbelanjaan tersebut telah dibayar atau tidak.

Jenis-jenis perbelanjaan

Seterusnya di dalam topik kos dan perbelanjaan, terdapat dua jenis perbelanjaan yang anda perlu tahu iaitu belanja operasi dan juga belanja modal. 

Bagi belanja operasi, ia melibatkan:

  • Belanja yang terlibat dengan operasi harian.
  • Kebiasaannya bagi aktiviti yang berulang dan berterusan.
  • Habis digunakan dalam tempoh satu tahun perakaunan.
  • Dinyatakan sebagai “Perbelanjaan” dalam Penyata Prestasi Kewangan.

Contoh bagi belanja modal adalah, sewaan, belanja pejabat, belanja utiliti dan belanja susut nilai.

  • Bagi belanja modal pula, ia melibatkan:
  • Belanja yang tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti harian.
  • Tujuan untuk mendapatkan aset dan selalunya tidak berulang.
  • Digunakan dalam tempoh jangka panjang – lebih satu tahun.
  • Dinyatakan di bawah “Aset Bukan Semasa” dalam Penyata Kedudukan Kewangan.

Contoh untuk belanja modal adalah, pembelian kenderaan, pembinaan bangunan dan kemudahan.

Kos dan Perbelanjaan serta Cukai

Kos langsung tidak mempunyai kesan atau mempengaruhi cukai namun kos aset akan digunakan untuk menentukan perbelanjaan yang susut nilai setiap tahun. 

Manakala perbelanjaan pula digunakan untuk mendapatkan hasil dan ia akan ditolak atas pulangan cukai perniagaan anda sekaligus mengurangkan cukai pendapatan perniagaan anda.

Namun, bagi tujuan perakaunan dan juga cukai, kos lebih kepada perkara yang berkaitan dengan aset perniagaan dan ia akan ditunjukkan dalam lembaran imbangan. Manakala perbelanjaan pula adalah perkara yang berkaitan dengan pendapatan perniagaan. Ia akan ditunjukkan pada penyata pendapatan perniagaan yang melibatkan keuntungan dan kerugian.

Rasanya itu sahaja untuk perkongsian kali ini berkenaan perbezaan kos dan perbelanjaan. Semoga perkongsian ini memberikan banyak manfaat kepada anda.

“Perlukan Konsultansi & Cara Pengurangan Cukai?”

Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.