“Cukai pendapatan sewa tu macam mana?”

Pernahkah anda dengar mengenai pendapatan melalui sewa? Pada zaman kini terdapat ramai ejen-ejen hartanah yang telah membuat seminar dan sebagainya dalam menggalakkan individu-individu yang berkemampuan untuk membeli hartanah rumah.

Ada yang membelinya untuk dijadikan sebagai aset serta boleh menjana pendapatan daripada situ. Kalau anda google mesti anda akan jumpa segala jenis maklumat berkenaan pembelian hartanah termasuk cara membeli serta bagaimana buat duit melalui hartanah. 

Namun tahukah anda dari aspek percukaian pula bagaimana? Oleh itu, mari kita telaah bersama-sama berkenaan isu ini pada hari ini.

Cukai Pendapatan Sewa

Sebelum itu, mari kita kenali apakah itu pendapatan sewa. Pendapatan sewa merupakan satu jenis pendapatan yang terhasil daripada sewaan hartanah seperti rumah dan sebagainya kepada individu lain tidak kira perseorangan atau keluarga. 

Pendapatan yang dijana daripada sewaan tersebut adalah dikira sebagai pendapatan pemilik hartanah tersebut yang diterima secara bulanan. Pendapatan yang terhasil daripada pendapatan sewaan adalah dikira sebagai satu pendapatan yang perlu dikenakan cukai ya. Oleh itu, jangan diambil mudah berkenaan pendapatan berkonsep sewaan bagi hartanah sendiri.

Pendapatan tersebut dikenali sebagai cukai pendapatan sewa. Ia merupakan sejenis cukai yang dikenakan ke atas pendapatan berbentuk keuntungan ke atas hasil hartanah yang disewakan. 

Konsep cukai pendapatan sewa digunakan ke atas dua jenis hartanah iaitu kediaman dan komersial namun boleh juga dikenakan ke atas jentera atau kapal yang juga dikenali sebagai harta boleh alih. 

Oleh itu sekiranya anda mempunyai pendapatan yang berbentuk seperti di atas, sila pastikan anda telah dikenakan cukai ke atas pendapatan tersebut. Namun, untuk pengetahuan anda, pendapatan sewa dan pendapatan perniagaan mempunyai beberapa perbezaan. 

Mari kita telusuri perbezaan-perbezaan ini supaya anda lebih faham tentang aspek percukaian tersebut.

Perbezaan yang paling ketara antara keduanya adalah pendapatan sewa tertakluk di bawah Akta Pendapatan Cukai 1967, Seksyen 4(d) jika anda menyewakan hartanah kediaman dan komersial untuk kegunaan orang lain. 

Tetapi sekiranya anda menyewakan hartanah tersebut sebagai contoh hartanah komersial bagi tujuan perniagaan, maka hasil keuntungan yang diperoleh daripada sewa tersebut tertakluk kepada Seksyen 4(a) kerana ia dianggap sebagai pendapatan perniagaan. 

Secara umumnya, pendapatan berkonsep sewa ini dianggap sebagai pendapatan yang bukan datang dari perniagaan yang dihasilkan secara pasif pada setiap bulan. Sekiranya pendapatan sewa tersebut diuruskan dengan sistematik, maka pendapatan tersebut boleh dianggap sebagai pendapatan perniagaan. 

Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab dalam mengisytiharkan cukai anda, maka anda perlu kenal dan faham akan perbezaan antara kedua-dua pendapatan ini. Konsep bagaimana pendapatan sewa dikenakan cukai di Malaysia juga perlu diambil tahu bagi memastikan anda tahu kadar yang dikenakan iaitu secara progresif iaitu antara 0 hingga 28% oleh kerajaan. 

Tarikh dimana dianggap bermulanya sewaan tersebut iaitu pada hari pertama hartanah disewakan adalah konsep permulaan dikenakan cukai. Pendapatan sewa sebenar dinilai berdasarkan bukti resit yang ada dimana dinasihatkan disimpan oleh pemberi sewa tersebut secara rapi. 

Pendapatan sewa tersebut dikira sebagai satu nilai yang bersih tetapi boleh dikurangkan sekiranya hartanah tersebut melibatkan beberapa kos yang lain seperti cukai tanah, cukai taksiran, faedah pinjaman rumah, bayaran insuran bagi kebakaran, perbelanjaan dalam proses kutipan sewa yang berulang tersebut, perbelanjaan dalam proses memperbaharui sewa yang berulang, perbelanjaan dalam pembaikan dan penyeliaan hartanah, duti setem, kos pengiklanan, kos pengurusan perjanjian dan perundangan dan sebagainya.

“Perlukan Konsultansi Cukai?”

Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.