“Ada ke perbelanjaan pengarah syarikat yang tak dikenakan cukai?”

Mengikut Akta Syarikat 2016, pengarah merupakan individu wajib yang perlu dilantik bagi menubuhkan sesebuah syarikat Sdn Bhd. Peranan pengarah adalah sebagai individu yang ditugaskan menjaga pengurusan sesebuah syarikat di samping memastikan segala urusan berkaitan syarikat dikawal selia dengan baik untuk tujuan penambahbaikan dan sebagainya.

Sebagaimana yang telah diterangkan pada artikel yang lepas, pengarah syarikat adalah dinasihatkan supaya mengambil gaji bagi mengelakkan ketirisan dalam sesebuah syarikat di samping memudahkan urusan rekod pengiraan kewangan syarikat pada setiap tahun. Setiap individu yang bergaji pula termasuk pengarah adalah wajib membuat deklarasi cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada setiap tahun supaya rekod percukaian sentiasa dikemaskini.

Perbelanjaan Pengarah Syarikat Boleh Ambil

Hari ini kita akan membincangkan mengenai perbelanjaan yang boleh pengarah ambil tanpa perlu bayar cukai lebih. Sebagaimana manfaat yang diterima seseorang pekerja di dalam sesebuah syarikat, pengarah syarikat juga turut diberikan kelebihan apabila memegang jawatan dalam syarikat. Hal ini adalah kerana, pada waktu atau keadaan di mana memerlukan pengarah membuat urusan di luar kawasan, mereka perlu diberikan kelebihan untuk mendapatkan klaim atau tuntutan bagi tujuan memudahkan operasi syarikat.

1. Perbelanjaan perjalanan

Antara perbelanjaan yang boleh dituntut oleh seorang pengarah syarikat adalah perbelanjaan perjalanan atau travelling. Setiap urusan berkaitan syarikat yang melibatkan pergerakan seseorang pengarah syarikat merupakan perbelanjaan perjalanan tidak mengira luar atau dalam negara. Adalah menjadi kewajipan syarikat untuk menyediakan reserve berkaitan tuntutan samada dalam bentuk petty cash atau dalam bentuk tuntutan selepas aktiviti tersebut telah selesai. 

Tuntutan perbelanjaan berbentuk travelling atau perjalanan adalah melibatkan tuntutan perjalanan pergi dan balik yang meliputi kos perbelanjaan minyak atau petrol serta kos tol sekiranya melibatkan urusan di luar kawasan seperti dari Selangor ke Seremban. 

2. Perbelanjaan penginapan

Perbelanjaan kedua yang boleh pengarah nikmati adalah perbelanjaan penginapan ke luar kawasan tidak mengira tempat dan lokasi. Perbelanjaan penginapan atau accommodation adalah melihat kepada urusan di luar kawasan yang melibatkan syarikat seperti mesyuarat bagi mencapai persefahaman antara kedua syarikat daripada luar atau dalam negara. Perbelanjaan penginapan yang terlibat adalah kos perbelanjaan hotel, motel, homestay dan sebagainya mengikut kepada kawasan- kawasan semasa.

3. Perbelanjaan pengarah syarikat untuk refreshment

Perbelanjaan ketiga adalah refreshment atau makanan (meals) dimana pengarah syarikat dibolehkan membuat tuntutan berkaitan kos-kos perbelanjaan yang menjadi sebahagian daripada keperluan. Setiap urusan perniagaan juga ada ketikanya melibatkan urusan perbincangan di restoran atau lounge hotel yang melibatkan kos- kos perbelanjaan makanan dan minuman. Walaubagaimanapun, harus diingatkan kos tersebut hanyalah melibatkan urusan perniagaan sahaja. Sekiranya pengarah menggunakan kos perbelanjaan makanan dan minuman kepada ahli keluarga, ianya dianggap sebagai kos peribadi yang tidak melibatkan urusan berkaitan syarikat.

Oleh yang demikian, setiap pengarah syarikat diberikan kelebihan tersebut demi melihat kepada urusan-urusan yang melibatkan perniagaan dimana memerlukan setiap pengarah syarikat untuk turun padang bermusyawarah bersama dengan pengarah syarikat yang lain. Setiap kos perbelanjaan tuntutan berikut juga tidak dikenakan cukai memandangkan kos tersebut adalah di bawah tanggungjawab syarikat dimana syarikat tersebut dibolehkan membuat tuntutan kepada LHDN di bawah cukai korporat.

Semoga setiap pengarah syarikat faham akan tugas-tugas yang perlu mereka lakukan apabila diberikan amanah untuk menjalankan urusan berkaitan syarikat tanpa mengira kawasan, tempat dan jenis urusan. Diharapkan syarikat juga tidak mengambil mudah dengan memastikan segala tuntutan tersebut melalui prosedur dan proses yang betul di samping memastikan dokumentasi berkaitan tuntutan dipenuhi terutamanya resit bagi memudahkan urusan pada masa hadapan.

“Macam banyak je nak kena tahu berkenaan cukai dan audit ni?”

Jangan risau. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.