Berapa harga kereta dan berapa pula pengecualian cukai kereta tersebut?
Ramai sebenarnya yang nak tahu berkenaan perkara ini. Sebab itulah kami nak kongsikan dalam artikel kali ini.
Bagi sesebuah syarikat, kenderaan merupakan salah satu aset pengangkutan yang paling diperlukan dalam perniagaan.
Seperti yang telah dibincangkan, kenderaan dapat dibahagikan kepada dua iaitu kenderaan persendirian dan kenderaan komersial.
Antara perbezaan kenderaan persendirian dan komersial adalah kenderaan persendirian lebih kepada urusan peribadi dan kenderaan komersial adalah meliputi urusan berkaitan perniagaan.
Pengecualian Cukai Kereta / Kenderaan Komersial
Sekiranya kenderaan tersebut berstatus persendirian tetapi digunakan sebagai kenderaan syarikat, maka ia adalah tertakluk kepada peruntukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di mana berbeza dengan kenderaan komersial yang mendapat pengecualian cukai secara penuh.
Oleh itu, harini akan dikongsikan tentang pengiraan dalam aspek percukaian bagi kedua-dua status kenderaan tersebut bagi tujuan penilaian pemilik syarikat berkaitan kos yang lebih efektif.
Bagi kenderaan yang berstatus persendirian tetapi kenderaan terpakai atau secondhand, perbelanjaan yang layak bagi pengecualian cukai adalah sebanyak RM50,000 sahaja di mana sekiranya harga kenderaan tersebut melebihi kos yang telah ditetapkan, maka kos tersebut tidak dapat dituntut sebagai pengecualian.
Namun, sekiranya kenderaan tersebut adalah kenderaan persendirian berstatus baharu, konsep pengecualian cukai adalah lebih spesifik dimana sekiranya kenderaan tersebut melebihi RM150,000 maka kos yang diberikan pengecualian cukai hanyalah sebanyak RM50,000 sahaja.
Sekiranya harga kenderaan tersebut adalah antara RM100,000 ke RM150,000 maka pengecualian yang diberikan adalah sebanyak RM100,000.
Bagi kenderaan yang berharga kurang daripada RM100,000, jumlah pengecualian cukai adalah diberikan mengikut kepada jumlah kos kenderaan tersebut.
Contoh Pengiraan Cukai Kenderaan Komersial
Oleh yang demikian, sekiranya pembelian kenderaan persendirian dibuat harus diingatkan bahawa kos-kos yang boleh dituntut hanyalah sebanyak kos yang telah dipaparkan di atas. Ia turut mengikut kepada jenis kenderaan samada kenderaan terpakai atau baharu. Berikut disertakan contoh pengiraan bagi kenderaan persendirian baharu :-
- Ahmad membeli Toyota Hilux baru berharga RM160,000. Kadar pengecualian cukai yang diberikan adalah RM50,000 sahaja;
- Ali membeli Mercedes C200 baharu berharga RM130,000. Kadar pengecualian cukai adalah RM100,000 sahaja;
- Abu membeli Nissan Almera baharu berharga RM89,000. Kadar pengecualian cukai adalah RM89,000 sahaja.
Oleh itu, sekiranya anda sebagai pemilik syarikat telah membeli kenderaan di bawah status persendirian baharu, sila semak kembali kelayakan pengecualian cukai di bawah syarikat seperti yang telah dikongsikan di atas.
Bagi pemilik perniagaan yang baru berkeinginan untuk membeli aset kenderaan syarikat, masih belum terlambat untuk ada membuat pembelian dengan mengambil kira kos-kos pengecualian yang akan diberikan.
Namun sekiranya anda ingin mendapatkan pengecualian penuh dalam pembelian kenderaan, pastikan kenderaan tersebut berstatus komersial dimana kenderaan tersebut dapat diberikan pengecualian cukai yang menyeluruh.
Sebagai contoh, sekiranya Ali membeli kenderaan berstatus komersial berharga RM300,000 maka pengecualian cukai adalah mengikut kepada harga kenderaan tersebut iaitu RM300,000.
Justeru, sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kenderaan samada persendirian atau di bawah konsep komersial, pastikan anda telah meneliti atau menimbang tara pembelian tersebut mengikut kepada keperluan dan kemampuan semasa anda atau syarikat.
Hal ini kerana sekiranya kos pembelian aset kenderaan tersebut adalah pada harga yang lebih tinggi, anda perlu melihat kepada status yang lebih bermanfaat untuk mendapatkan kelebihan percukaian pada masa hadapan.
Buatlah pilihan yang bijak bagi memastikan perancangan kewangan syarikat berada pada tahap yang lebih baik serta pastikan tahap kewangan syarikat berada pada tahap yang optimum demi memastikan syarikat sentiasa produktif dan sentiasa bergerak ke hadapan.
“Perlukan Informasi Lanjut Mengenai Pengecualian Cukai Kereta?”
Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.
Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.
Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.