Buat para usahawan, pasti sudah terbiasa dengar entiti perniagaan seperti Sdn Bhd dan juga enterprise. Namun, masih ramai lagi yang belum jelas apa perbezaan, kelebihan dan kekurangan setiap entiti ini.

Tapi, ada satu soalan yang para usahawan suka tanya iaitu,

“Berapa kos Sdn Bhd?”

“Bukan kos enterprise lagi murah ke? Jadi kenapa perlu Sdn Bhd?”

Apa yang ramai daripada kita tahu adalah, kos untuk Sdn Bhd jauh lebih mahal daripada enterprise. Namun, sekalipun kos enterprise dikatakan lebih rendah, masih ramai juga yang tidak mendaftarnya. Begitu juga dengan Sdn Bhd, sekalipun ramai yang mengatakan ia mahal, masih ramai yang mendaftarnya.

Statistik Pendaftaran Syarikat

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2022, terdapat lebih daripada 8 juta perniagaan yang telah berdaftar. Daripada jumlah tersebut, lebih daripada sejuta adalah Sdn Bhd.

Jelaslah di sini bahawa semakin ramai pemilik bisnes yang berani untuk beroperasi sebagai Sdn Bhd sekalipun kosnya adalah lebih tinggi kerana mereka tahu kelebihan yang ada padanya.

Sebelum kami ceritakan lebih lanjut mengenai kelebihan yang ada padanya, jom lihat berapa kos yang perlu ditanggung oleh setiap entiti ini. 

Kos Enterprise

Untuk enterprise, kos yang dikenakan lebih rendah berbanding Sdn Bhd dimana kos untuk pendaftaran adalah bermula dari RM30 bagi nama pemilik sendiri atau RM70 bagi nama berbentuk patent. 

Kos pendaftaran enterprise tersebut sah bagi tempoh setahun dan anda perlu memperbaharui perniagaan anda setiap tahun. Sekiranya anda ingin membuat pembaharuan bagi tempoh yang lama, had tempoh adalah selama 5 tahun. 

Kos enterprise yang berikutnya adalah kos penyediaan kunci kira-kira atau penyata untung rugi perniagaan bagi tujuan membuat deklarasi cukai tahunan. Anda wajib membuat deklarasi cukai setiap tahun bagi memastikan LHDN menerima rekod jualan perniagaan anda.

Kos Sdn Bhd

Berbeza pula untuk Sdn Bhd di mana ia mempunyai kos yang lebih tinggi. Hal ini kerana Sdn Bhd dikawal selia oleh beberapa badan profesional yang berbeza seperti:

  • Akauntan
  • Juruaudit
  • Setiausaha syarikat
  • Juru cukai

Jadi, tidak hairanlah kenapa kos yang terlibat adalah tinggi kerana anda perlu untuk melantik keempat-empat badan profesional tersebut. Hal ini bagi memastikan segala hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 dipatuhi dengan sebaiknya. 

Secara purata, kos yang terlibat untuk pengurusan tahunan Sdn Bhd boleh mencecah sehingga RM5,000. Ia merupakan kos yang terlibat bagi proses:

  • Penyediaan dokumen berkanun oleh Setiausaha Syarikat
  • Penyediaan audit oleh juruaudit
  • Penyediaan penyata untung rugi oleh akauntan dan penyediaan cukai oleh juru cukai

Kos untuk penyata untung rugi dan cukai ini pula bergantung pada jualan syarikat. Sekiranya jualan syarikat lebih tinggi maka kos tahunan juga akan lebih tinggi.

Kelebihan Sdn Bhd

Walaupun Sdn Bhd menelan kos perbelanjaan yang tinggi namun ramai yang memilih untuk menjalankan perniagaan menggunakan entiti Sdn Bhd kerana pengurusan syarikat yang lebih sistematik. 

Dalam aspek pengurusan dan jaminan, syarikat adalah entiti yang paling digemari kerana lebih mudah mendapat kepercayaan daripada para pelabur. Hal ini kerana syarikat mempunyai banyak kelebihan.

Antaranya adalah:

  • Boleh diwarisi
  • Kadar cukai yang lebih rendah
  • Liabiliti berasingan dimana jika berlaku bankrap hanya syarikat yang terjejas

Disebabkan oleh kelebihan-kelebihan inilah walaupun Sdn Bhd merupakan entiti yang paling banyak menelan kos perbelanjaan namun ia mempunyai ciri-ciri yang lebih sistematik, lebih terjamin, mudah mendapat kepercayaan dan boleh diwarisi berbanding enterprise yang lebih bersifat individu.

Sekiranya berlaku apa – apa kepada pemilik perniagaan maka perniagaan tersebut akan terjejas atau terpaksa ditutup menyebabkan projek-projek atau transaksi semasa menjadi tergendala.

Oleh itu, rujuklah mereka yang lebih pakar sekiranya anda berhasrat untuk mendaftar sebagai entiti perniagaan tidak kira Sdn Bhd, enterprise atau sebagainya. Wajib bagi usahawan untuk mengenali entiti – entiti yang sesuai bagi perniagaan anda untuk jaminan masa hadapan. Semoga bermanfaat!

“Perlukan Konsultansi & Cara Pengurangan Cukai?”

Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.