Borang CP500 LHDN merupakan notis yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tujuan pembayaran ansuran cukai pendapatan. Ia direka khas untuk pembayar cukai yang memperoleh pendapatan selain daripada penggajian, seperti pendapatan perniagaan, sewa, dan royalti.
Apa Itu Borang CP500?
Jika anda mempunyai pendapatan selain daripada pekerjaan, seperti pendapatan perniagaan, sewa, dan royalti, anda dikehendaki membuat enam pembayaran ansuran dwi-bulanan yang bermula pada bulan Mac setiap tahun. Tarikh pembayaran ansuran ini ditetapkan dalam notis CP500 yang perlu dibayar.
Amaun ansuran akan dianggarkan oleh LHDN dan notis ansuran CP500 akan dihantar kepada pembayar cukai pada awal tahun. Dalam notis ini, anda akan diberi maklumat mengenai jumlah, tarikh akhir, dan bilangan ansuran yang perlu dibayar.
Asas Anggaran dan Prosedur Bayaran CP500
Jumlah anggaran cukai di bawah Borang CP500 adalah berdasarkan amaun cukai kena dibayar bagi tahun taksiran sebelumnya. Bagi pembayar cukai yang mempunyai sumber pendapatan penggajian dan sumber pendapatan lain, anggaran cukai tidak mengambil kira cukai daripada penggajian kerana pendapatan ini tertakluk kepada Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Tarikh pembayaran ansuran akan ditetapkan dalam notis CP500. Anda diberikan tempoh 30 hari dari tarikh yang ditetapkan untuk menjelaskan ansuran tersebut. Jika gagal mematuhi tempoh ini, anda berisiko dikenakan penalti sebanyak 10% daripada baki tertunggak.
Pindaan Borang CP500
Pembayar cukai dibenarkan memohon pindaan amaun ansuran anggaran cukai di bawah Borang CP500. Permohonan ini akan dipertimbangkan jika diterima selewat-lewatnya pada 30 Jun tahun taksiran berkenaan.
Untuk memohon pindaan amaun anggaran cukai, anda perlu menggunakan Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502). Borang ini perlu dikemukakan ke cawangan LHDNM berkenaan sebelum atau pada 30 Jun tahun taksiran tersebut. CP502 boleh didapati di laman web LHDNM di http://www.hasil.gov.my.
Dengan memahami dan mematuhi prosedur yang ditetapkan, anda dapat memastikan kewajipan cukai anda dipenuhi dengan lancar dan mengelakkan penalti yang tidak diingini.
“Perlukan Konsultansi & Cara Pengurangan Cukai?”
Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.
Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.
Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.