“Kalau betul banyak kebaikan Sdn Bhd, kenapa ramai lagi yang kekal dengan enterprise?”
Fuh. Memang selalu sangat kami dapat soalan macam ni sebenarnya.
Untuk pengetahuan anda, antara entiti perniagaan yang paling dikenali adalah sendirian berhad (Sdn Bhd) dan juga enterprise. Mengikut kepada statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2022, terdapat 8 juta perniagaan yang telah berdaftar manakala untuk Sdn Bhd pula adalah sebanyak satu juta lebih.
Melalui statistik tersebut, dapat kita perhatikan bahawa pertambahan pendaftaran Sdn Bhd telah meningkat lebih dari sejuta walaupun ramai yang mengatakan ia merupakan entiti yang memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
Kenapa Ramai Kekal dengan Enterprise?
Kerana kos yang dirasakan agak tinggi itu jugalah membuatkan ramai yang masih berasa risau dan juga takut untuk mendaftar Sdn Bhd. Kos yang bakal ditanggung memang tidak dapat dinafikan lebih tinggi berbanding enterprise.
Perincian kos bagi enterprise adalah seperti berikut:
- RM30 untuk pendaftaran menggunakan nama pemilik sendiri
- RM70 bagi pendaftaran nama berbentuk patent
Untuk pendaftaran sahaja tidak sampai RM100 dan ia sudah pasti akan menjadi pilihan buat mereka di luar sana terutamanya mereka yang baru mula berniaga. Namun, masih ramai juga yang langsung tidak mendaftar perniagaan mereka.
Tempoh sah pendaftaran enterprise tersebut adalah setahun dengan jumlah yang dinyatakan. Buat para pemilik enterprise, anda perlu melakukan pembaharuan pendaftaran perniagaan anda setiap tahun.
Jika anda mempunyai modal lebih dan ingin membuat bayaran untuk tempoh yang lebih lama, had maksimum tempoh sekali bayar adalah selama 5 tahun sahaja. Pastikan pembaharuan dilakukan segera sebelum ia tamat kerana anda berisiko untuk dikenakan kompaun.
Kos enterprise yang berikutnya adalah kos penyediaan kunci kira-kira atau penyata untung rugi perniagaan bagi tujuan pernyataan cukai tahunan. Anda wajib membuat pernyataan cukai setiap tahun bagi memastikan LHDN menerima rekod jualan perniagaan anda.
Kos Pengurusan Sdn Bhd
Berbeza pula bagi Sdn Bhd yang lebih kompleks berbanding enterprise disebabkan Sdn Bhd dikawal selia oleh beberapa badan profesional seperti akauntan, juruaudit, setiausaha syarikat dan juru cukai.
Oleh yang demikian, kos bagi penjagaan Sdn Bhd adalah lebih tinggi disebabkan anda wajib melantik 4 badan profesional tersebut bagi memastikan segala urus tadbir pensyarikatan di bawah akta syarikat 2016 dipatuhi, lebih sistematik dan terurus.
Kos tahunan bagi Sdn Bhd boleh mencecah sehingga RM5,000 setahun bagi penyediaan dokumen berkanun oleh setiausaha syarikat, penyediaan audit oleh juruaudit, penyediaan penyata untung rugi oleh akauntan dan penyediaan cukai oleh juru cukai bergantung kepada jualan tahunan syarikat. Sekiranya jualan syarikat lebih tinggi maka kos tahunan akan lebih tinggi.
Walaupun Sdn Bhd menelan kos perbelanjaan yang tinggi namun ramai yang memilih untuk menjalankan perniagaan menggunakan entiti Sdn Bhd kerana pengurusan syarikat yang lebih sistematik.
Kelebihan dan Kebaikan Sdn Bhd
Dalam aspek pengurusan dan jaminan, syarikat adalah entiti yang paling digemari kerana lebih mudah mendapat kepercayaan pelabur-pelabur. Hal ini kerana syarikat mempunyai ciri-ciri di mana ia boleh diwarisi serta mempunyai liabiliti yang mengasingkan pengarah syarikat dan syarikat. Sekiranya bankrap, hanya syarikat sahaja yang terjejas.
Selain daripada itu, Sdn Bhd turut mendapat kelebihan dalam aspek pengurusan cukai dimana cukai yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding enterprise namun tertakluk kepada jualan syarikat itu sendiri. Sebagai contoh, sekiranya perniagaan anda telah mencecah jualan yang tinggi melebihi 200,000 ke atas, anda dinasihatkan supaya bergerak menggunakan entiti Sdn Bhd bagi mengelakkan cukai yang dikenakan terlalu tinggi.
Oleh yang demikian, walaupun Sdn Bhd merupakan entiti yang paling banyak menelan kos perbelanjaan namun ia mempunyai ciri-ciri yang lebih sistematik, lebih terjamin, mudah mendapat kepercayaan dan boleh diwarisi berbanding enterprise yang lebih bersifat individu dimana sekiranya berlaku apa-apa kepada pemilik perniagaan maka perniagaan tersebut akan terjejas atau terpaksa ditutup menyebabkan projek-projek atau transaksi semasa menjadi tergendala.
Oleh itu, rujuklah individu yang lebih pakar sekiranya anda berhasrat untuk mendaftar sebagai entiti perniagaan tidak kira Sdn Bhd, enterprise atau sebagainya. Wajib bagi usahawan untuk mengenali entiti-entiti yang sesuai bagi perniagaan anda untuk jaminan masa hadapan.
“Perlukan Konsultansi & Cara Pengurangan Cukai?”
Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.
Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.
Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.