Buat mana-mana bisnes, anda perlu biasakan diri anda dengan istilah yang berkaitan bisnes seperti apa yang bakal kami kongsikan kali ini iaitu kos tetap dan kos boleh ubah.

Mungkin masih ramai lagi yang belum tahu dan faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kos tetap dan kos boleh ubah. Jangan risau. Kami akan pastikan anda faham dengan sebenar-benarnya menerusi perkongsian kali ini. Jom baca!

Apa itu kos tetap?

Kos tetap merupakan kos yang kekal pada tahap yang sama sekalipun berlakunya perubahan pada output bisnes anda. Kos tetap tidak akan terjejas oleh tahap aktiviti bisnes yang ada masanya naik dan ada masanya pula turun.

Namun, ia tidak bermakna ia akan langsung tidak berubah dalam tempoh masa yang panjang. Contoh mudah untuk anda memahami kos tetap adalah sewa premis. Tanpa mengira samada anda mencatatkan keuntungan atau kerugian pada bulan tersebut, anda tetap perlu untuk membayar sewa tersebut.

Sewa ini termasuk dalam kos tetap sepanjang tempoh anda menyewa tersebut sehinggalah ia dinaikkan atau diturunkan oleh pemilik premis tersebut. Kos tetap ini akan kekal sama dalam jumlah namun akan berubah dalam unit.

Contohnya kos sewa premis anda adalah RM3,000 sebulan. Itu adalah jumlahnya. Ia akan kekal sama namun akan mempunyai perbezaan dari segi unitnya bergantung kepada keuntungan anda.

Unit ini pula dikira berdasarkan output anda pada setiap suku kewangan. Katakan pada suku pertama, kedua dan ketiga, pendapatan anda adalah 30,000, 60,000 dan 90,000 unit.

Jadi, kos tetap unit adalah:

  • Suku pertama, RM3000/30,000 = RM0.1
  • Suku kedua, RM3000/RM60,000 = RM0.05
  • Suku ketiga, RM3000/RM90,000 = RM0.033

Apa itu kos boleh ubah?

Kos boleh ubah merupakan kos yang berubah dengan perubahan dalam kuantiti output yang dihasilkan oleh bisnes. Ia akan berubah seiring dengan naik dan turun dalam tahap aktiviti bisnes anda.

Kos boleh ubah akan berubah berdasarkan variasi dalam jumlah di mana apabila terdapat kenaikan dalam pengeluaran dan akan berkurang jika berlakunya penurunan dalam pengeluaran.

Kos boleh ubah adalah berkadar terus dengan unit yang dihasilkan oleh bisnes anda. Kos boleh ubah adalah sama dalam satu unit, namun akan mempunyai perubahan dari segi jumlah.

Sebagai contoh, jika kos boleh ubah seunit anda adalah RM1 dan output anda pada suku pertama, suku kedua dan suku ketiga masing-masing adalah 30,000, 60,000 dan 90,000 unit.

Sekalipun output berubah dalam setiap suku, ia hanya berubah dari segi jumlah semata-mata. Langsung tiada perubahan dalam harga per unit. Jadi, kos boleh ubah pada:

  • Suku pertama, 30,000 x RM1 = RM30,000
  • Suku kedua, 60,000 x RM1 = RM60,000
  • Suku ketiga, 30,000 x RM1 = RM90,000

Perbezaan Antara Kos Tetap dan Kos Boleh Ubah

Kos tetap adalah kos yang tidak berubah dengan sebarang perubahan dalam kuantiti unit output manakala kos boleh ubah pula adalah kos yang berubah dengan perubahan dalam kuantiti unit output.

Kos tetap akan kekal dalam satu tempoh tertentu seperti sewa premis. Kos boleh ubah pula berkaitan dengan volume dimana ia akan berubah mengikut volume seperti bungkusan, barang mentah, upah dan lain-lain.

Kos tetap akan tetap dikenakan walaupun tiada unit yang berjaya dihasilkan oleh perniagaan anda. Berbeza pula dengan kos boleh ubah di mana ia hanya akan dikenakan apabila perusahaan menghasilkan unit.

Rasanya anda pun dah jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh kos tetap dan kos boleh ubah. Semoga perkongsian kali ini memberikan banyak manfaat kepada anda.

“Perlukan Konsultansi & Cara Pengurangan Cukai?”

Bagi sesebuah syarikat, adalah penting untuk anda mengambil tahu, mengurus dan membayar cukai berkaitan perniagaan tepat pada masanya. Kami ada sediakan artikel dan juga konsultansi untuk memudahkan anda memahami akaun, cukai dan audit.

Dengan adanya semua ini maka lebih mudahlah urusan pengauditan dan percukaian anda.

Tapi, jika anda memerlukan bantuan dan konsultasi yang lebih menyeluruh mengenai fail cukai dan audit ini, anda boleh terus hubungi kami.